Sunday, April 3, 2011

LENSA (BAB 2)



ZAHRUL masih lagi memandu. Sambil itu matanya melirik jam yang ada di pergelangan tangan kanan dan kad bisnes yang ada di tangan kiri. Jam masih lagi menunjukkan pukul 1.30 petang. Jadi dia masih tidak terlewat.

Setelah makan tengahari di pantri pejabat tengahari tadi, dia sempat bertemu dengan Bakri yang mahu keluar untuk makan tengahari. Bakri mengingatkan dia untuk terus ke rumah pemilik kad itu setelah selesai makan. Dia juga tidak mahu Zahrul lewat. Katanya orang itu tidak suka orang yang lewat.

Zahrul yang sepantas kilat menghabiskan bihun yang sudah tinggal separuh terus tergesa-gesa mendapatkan kunci kereta lalu berangkat ke mari.

Sepanjang perjalanannya ke mari, dia sudah melalui sepanjang-panjang hutan. Mengikut pengalamannya, jika ada orang yang suka membuat rumah di dalam hutan begini, pasti orang ini memang suka hidup bersendiri, kaya dan mempunyai tanah sendiri. Kemungkinan juga rumah itu juga adalah sebuah banglo mewah atau banglo lama berbentuk kolonial. Angapannya ternyata benar bila dia melihat alamat yang ada di dinding batu, di tepi pagar sebuah rumah banglo lama yang masih kuat berdiri.

Zahrul melihat nama dan almat banglo tersebut, SUKMA VILLA ,sama seperti nama banglo yang ada di dalam kad bisnes yang masih dipegangnya. Tika itulah matanya melihat keseluruhan pemandangan rumah banglo dan tanah pamah yang ada di situ. Keluasannya mungkin mencecah ratusan ekar memandangkan pagar yang melingkari kawasan itu sungguh panjang dan mengelilingi keseluruhan kawasan hutan itu.
Biarpun banglo itu bercitararasa lama, namun banglo itu masih cantik di pandangan matanya. Mungkin kerana banglo itu dijaga dengan baik malahan kesan cat yang ada di banglo itu masih lagi nampak baru.

Zahrul membuka cermin keretanya lalu menekan loceng yang ada di tepi pagar. Selang beberapa minit pagar yang besar itu terbuka secara otomatik. Zahrul kembali menutup cermin keretanya lalu keretanya itu dipandu terus memasuki laman yang berbentuk padang terus ke muka depan pintu rumah banglo tersebut.

Sebaik sahaja Zahrul melangkah keluar dari keretanya, daun pintu yang diperbuat daripada kayu jati itu diselak perlahan. Terpacul keluar seorang lelaki yang agak berusia dengan kain sampin jawa yang terikat di pinggang. Fikirnya pasti lelaki itu adalah pembantu di rumah itu.

“Tuan sudah sampai, silakan masuk. Tuan Haji sudah lama menunggu,” lelaki itu bersuara perlahan. Zahrul yang mendengarkan perkataan ‘lama menunggu’ dari lelaki tua itu terus melihat jam di tangan. Pukul 2 tepat. Maknanya dia tidaklah lewat seperti mana yang difikirnya tadi, mungkin cuma Tuan haji yang dikatakan lelaki itu yang awal sangat menunggu. Jadi itu bukan salahnya, tetapi salah Tuan haji itu sendiri.

Tanpa berlengah panjang, Zahrul terus masuk mengekori lelaki tua itu. Ketika itulah lelaki tua itu memperkenalkan dirinya sebagai Wak Karman, penjaga kepada rumah banglo itu. Zahrul yang seawalnya sudah mengagak cuma tersenyum lalu memperkenalkan dirinya pula.

Zahrul di bawa ke ruang rehat yang sebesar pejabatnya. Keluasan yang sebegitu benar-benar menakjubkan matanya. Dia sempat melihat gambar-gambar yang tergantung di dinding. Kesemuanya adalah gambar-gambar pahlawan dan wanita jawa yang segak dan cantik mengenakan pakaian tradisi mereka.

Di sisi kanannya pula tergantung foto keluarga, dilihatnya dalam foto itu terdapat seorang lelaki yang berusia dalam lingkungan 50-an bersama dengan wanita yang seakan baya dengan lelaki tadi. Mereka masing-masing mengenakan pakaian jawa. Begitu jugalah dengan 3 orang yang ada dibelakang pasangan tadi. Fikirnya, mungkin 3 orang itu adalah anak-anak kepada pasangan itu. 2 lelaki dan seorang perempuan yang ada di tengah-tengah. Mereka juga sama seperti pasangan tadi, memakai pakaian jawa. Sungguh segak dan cantik sekali.

Wak Karman mempersilakan Zahrul untuk duduk di atas sebuah sofa yang mahal harganya. Zahrul yang agak segan-segan cuma menurut perintah lelaki tua itu. Seketika kemudian, lelaki tua itu meminta diri untuk memanggil tuannya. Dan ketika itulah muncul seorang wanita yang seusia dengan lelaki tua tadi keluar menghidangkan segelas air buah. Wanita itu hanya tersenyum dan mempersilakan Zahrul untuk minum. Zahrul mengucapkan terima kasih dan wanita itu berlalu pergi.

Agak lama juga Zahrul duduk di situ sambil memandang keseluruhan rumah yang mewah itu. Gelas yang ada di tangan di sua ke bibir lalu airnya dihirup agak laju. Semasa itulah matanya tertumpu pada sekeping foto bersaiz 8r yang tergantung di dinding. Foto itu mengandungi seraut wajah ayu yang berkebaya biru cair. Rambutnya hitam pekat, pipinya putih gebu dan bibirnya merah merekah. Zahrul cukup terpana melihat wajah ayu itu, seakan-akan wajah ayu yang ada di dalam foto itu tersenyum ke arahnya.

Pada ketika itulah muncul seorang lelaki berusia dalam lingkungan 60-an. Lelaki itu memakai jubah berwarna putih manakala dikepalanya terlilit serban yang juga berwarna putih. Lelaki itu menghampiri Zahrul lalu menghulurkan salam. Zahrul menyambut dengan tangan yang tiba-tiba menggigil.

“Kenapa, kamu macam takut saja?” lelaki tua itu tersenyum.

Zahrul juga mahu tersenyum, tetapi bibirnya seakan keras. Tiada senyuman yang terukir, cuma rasa debar yang berkecamuk.

“Kamu Zahrul bukan?”

Zahrul mengangguk.

“Kata Bakri, kamu suka mengambil gambar?”

Zahrul mengangguk lagi.

“Sudah lama kamu berkerja di Bayan-Bayan?”

“Baru 2 bulan tuan.”

“Hmm..” lelaki tua itu mengurut-urut janggutnya yang panjang ke dada.

“Nampaknya kamu memang masih baru, terlalu baru. Agak susah untuk saya ceritakan hal ini kepada kamu,” kata lelaki itu dalam nada yang agak mengeluh.

Zahrul yang kurang faham dengan situasi sebenar juga menggaru kepala secara tiba-tiba. Tika itulah lelaki itu tersenyum kecil.

“Namaku Haji Hashim,” seperti yang disangka Zahrul, dia cuma mengangguk.

“Dan aku ada seorang anak perempuan...” Haji Hashim memulakan bicara.

3 comments: