Tuesday, April 5, 2011

LENSA (BAB 3)



BALQIS berdiri di tepi jendela sambil tangannya masih lagi memegang sekuntum ros merah yang sudah kering dan layu. Mukanya pucat lesi, bibirnya kering biru dan rambutnya yang panjang lansung tidak terurus. Balqis yang kelihatan tiada semangat bersenandung perlahan. Bibirnya tidak habis-habis menyanyikan lagu-lagu cinta dan diselang seli dengan ketawa kecil. Sesekali juga, air matanya akan mengalir dan membasahi pipi yang kini cengkung.

Matanya yang layu melihat jauh ke hujung padang, seakan-akan dapat menembusi setiap pohon-pohon yang ada, Balqis masih lagi bersenandung.

Doktor Imran yang simpati melihat keadaan Balqis cuma mampu menggeleng kepala. Dia sempat memandang wajah Haji Hashim yang ada di sebelahnya. Haji Hashim cuma berkerut,tidak tahu apa cara yang perlu dilakukannya lagi.

Sekitar setengah tahun yang lalu, Balqis merupakan seorang gadis yang manis dan ceria. Mukanya yang cerah, pipinya yang gebu bahkan bibirnya yang merah merekah cukup pantas menarik hati sesiapa yang melihat. Dia seorang gadis yang pintar dan bijak, bahkan dia juga merupakan anak kesayangan kepada Haji Hashim.

Segala apa yang dimahukan Balqis pasti akan dituruti oleh Haji Hashim kerana Balqis bukanlah anak yang pandai bermanja-manja. Balqis merupakan gadis yang pandai berdikari. Kerana itulah ketika Balqis meminta Haji Hashim membenarkan dirinya untuk melanjutkan pelajaran ke universiti, Haji Hashim tidak teragak-agak untuk membenarkannya. Ini kerana Haji Hashim amat mempercayai Balqis yang tahumenjaga diri.

Namun begitu setelah 5 bulan berada di universiti Balqis mula berubah. Dia sudah mula menjadi kasar, tidak lagi mahu mendengar kata malahan Balqis lebih suka bercakap kasar dengan bapanya. Sikap pelik yang ditunjukkan oleh Balqis itu benar-benar merunsingkan kepala Haji Hashim. Fikir Haji Hashim mungkin hal ini terjadi disebabkan hal-hal yang berlaku di kolej, contohnya seperti penat mengaji pelajaran atau perselisihan faham di antara teman-teman. Tetapi sikap anehnya itu mula menjadi teruk bila cuti semester yang lalu. Balqis sering bercakap mengenai foto-foto yang tidak pernah didengarinya dan ketika itulah Balqis seperti sudah lupa akan dirinya.

Bila ditanya tentang nama ataupun apa yang terjadi, dia pasti akan mengelak dan kadang-kadang menjerit terpekik-pekik. Menurut kata Wak Karman, kemungkinan besar Balqis sudah disampuk ketika berada di universiti. Al-maklumlah kolej tempat Balqis menginap kini merupakan tapak peninggalan tentera jepun. Dari mana Wak Karman mengetahui ini semua, itu Haji hashim tidak pasti.

Namun begitu tidaklah Hasji Hashim percaya bulat-bulat dengan kata-kata Wak Karman itu, dia berusaha untuk mendapatkan doktor-doktor dan pakar untuk mengubati puterinya itu, namun lansung tidak berjaya. Malahan Balqis menjadi semakin sakit kerana sering dicucuk untuk diberikan ubat penenang. Sampailah satu masa dia mengambil kata sepakat bersama Wak Karman untuk membawa bomoh mengubati Balqis, dan ketika itulah Balqis diberitahu menghidap penyakit guna-guna. Ada orang yang telah meletakkan ubat guna-guna pada Balqis. Percaya atau tidak, Haji Hashim berasa marah sekali. Dia cukup marah dengan apa yang terjadi. Baginya, pelaku yang melakukan perkara ini sememangnya seorang yang penakut.

Namun begitu dari apa yang dilihat Haji Hashim, tidak pula dia melihat Balqis memanggil-manggil nama lelaki yang telah mengguna-gunakan anaknya itu. Selalunya gadis yang telah diguna-guna akan sering memanggil-manggil nama lelaki yang telah mengguna-gunakan dia. Tetapi ini tidak, Balqis cuma menyanyi dan bersenandung, kadang-kadang juga tertawa sendiri. Tika itulah dia ada mendengar Balqis menyebut mengenai foto-foto yang dia sendiri kurang pasti.

“Wak rasa, foto apa yang dikatakan oleh Balqis itu?” Haji Hashim bertanya kepada Wak Karman. Wak Karman yang tidak tahu apa-apa cuma menggeleng kepala.

“Wak ada apa-apa cadangan?” tanya Haji Hashim lagi.

“Saya rasalah tuan, lebih baik tuan panggil orang yang tahu tentang foto. Mungkin mereka tahu,”

“Tapi siapa?”

“Minta tolong sajalah pada pekerja tuan,” Wak Karman sudah putus idea. Haji Hashim kembali termenung. Ditatapnya wajah anak gadisnya yang pucat itu, hati menjadi semakin sayu. Dia harus cekal jika mahu anaknya itu sembuh.

***

“Abi dah panggil sesiapa?” Badrul, anak sulung kepada haji Hashim bertanya. Haji Hashim cuma menggeleng kerana dia sendiri tidak tahu siapa yang harus dipanggilnya.

“Apa kata kalau kita tanya pada Bakri?” Haziq, anak keduanya pula memberikan cadangan. Haji Hashim yang tadi mahu menunduk sempat memandang wajah anak keduanya itu. Mendengarkan nama Bakri mengingatkan dia pada syarikatnya yang ada di Kuala Lumpur yang dinamakan Bayan-bayan Coparation. Bayan-bayan Coparation Merupakan sebuah anak syarikat yang berada di bawah syarikat besar Zhulhad Coparation yang ada di sini.

Haji Hashim merupakan seorang pengusaha barangan jati dan hasil mentah dari tanah jawa. Disebabkan kejayaan yang diperolehinya melalui perusahaan itu, Haji hashim menjadi amat terkenal dan kaya. Namun begitu Haji Hashim bukanlah seorang yang sombong, dia seorang yang berhati murah dan suka membantu. Begitu jugalah dengan anak-anaknya, mereka diajar untuk bersifat baik dan saling membantu. Dari sebab itulah mereka diberikan sebuah satu syarikat untuk diuruskan masing-masing kecuali Balqis. Ini kerana Balqis masih menuntut .

“ Macam mana Abi?” tanya Haziq.

“Abi tak kisah, buatlah mana yang patut. Abi sendiri dah habis fikiran,” luah Haji Hashim.

Sebaik saja mendapat persetujuan dari Haji Hashim, Haziq terus menghubungi Bakri di Kuala Lumpur dan pada tika itulah Zahrul muncul di pintu, seakan membawa cahaya pada harapan keluarga Haji Hashim.









No comments:

Post a Comment