Wednesday, April 13, 2011

LENSA (BAB 5)



SELESAI saja mandi, Zahrul terus mendapatkan laptop yang ada di dalam begnya. Laptop itu di buka di atas katil sambil tubuhnya masih lagi berbalut dengan tuala. Dia terus menaip nama ‘Sukma Dewi’ , namun tiada sebarang data yang yang keluar. Zahrul sedikit kecewa. Fikirnya mungkin Balqis memang benar-benar berdelusi.

Semasa di banglo Haji Hashim tadi, bukan niatnya tidak mahu berkata mengenai Sukma Dewi. Tetapi dia merasakan yang hal itu tidak perlu. Jika dia mahu mengatakan tentang hal itu, dia harus mencari buktinya dahulu, biar Haji Hashim senang dengan jawapan yang diterima dan dapat mencari jalan untuk menyelesaikan masalah itu.

Zahrul terus menutup laptopnya. Dia melentangkan badannya sambil memandang ke atas siling, dilihatnya kipas siling bergerak laju dan seakan-akan mahu tercabut. Cepat-cepat Zahrul bangun dan melompat dari atas katil terus ke arah pintu biliknya. Jantungnya berdegup laju, seakan-akan mahu tercabut. Dia merasakan keadaan itu seakan benar bila kipas itu semakin dekat dengannya. Pantas saja dia menyapu mukanya dengan kedua belah telapak tangan.

Dia masih lagi cuba untuk memandang ke arah siling tadi, keadaan yang dilihatnya biasa-biasa sahaja. Kipas tadi masih lagi tetap berpusing tetapi tidaklah seperti mahu tercabut. Dia mula mengucap panjang. Mungkin hal ini terjadi kerana dia berasa letih, fikirnya sendiri.
Malam itu dia mengambil keputusan untuk tidur di ruang tamu sahaja. Dia tidak mahu tidur di dalam bilik kerana hatinya masih lagi terasa was-was.

***

“Ehsan, bangun ,Ehsan” suara lunak itu memanggil-manggil nama Ehsan yang sedang lena di buai mimpi. Ehsan yang tadinya terkulat-kulat di atas padang rumput yang luas itu terjaga dari lenanya. Ehsan menenyeh-nenyeh matanya sambil mulutnya menguap kerana masih keletihan. Matanya masih tidak luas terbuka bila ada tangan menyentuh bahunya dengan lembut. Ehsan menoleh.

“ Ehsan dah sedar,” Dewi menyentuh pipi Ehsan dengan begitu lembut sekali. Ada perasaan kasih sayang yang hadir di situ. Ehsan sedar yang dia di alam itu, alam cinta separuh mati. Bukan baru sekali dia ke mari, tetapi sudah berkali-kali. Mungkin kerana dia merindui seseorang jadi dia sentiasa akan kemari. Bermain-main, bersuka-suka sehinggalah dia tersedar yang dia ditinggalkan sendiri. Cuma ada dia dan Dewi saja di situ. Dewi adalah teman baiknya, mungkin juga cinta hatinya. Dia tidak pasti. Setiap kali melihat Dewi dia akan rasa terhibur, mahu saja dia merangkul tubuh Dewi dan tidak melepaskannya selama-lamanya. Dia sayang akan Dewi, dia cinta akan Dewi. Dewi seperti wujud hanya untuk dirinya.

“Apa yang Ehsan fikirkan?” Dewi bertanya lembut sambil tangannya tangkas mengupas kulit buah epal yang masak ranum. Epal itu dimasukkan seulas demi seulas ke dalam mulut Ehsan, Ehsan mengunyah tanpa ada kata.

“Ehsan fikirkan Dewi ya?” Dewi bertanya lagi. Kali ini Ehsan seperti termanggu, apa benarkah dia memikirkan Dewi, dia sendiri kurang pasti. Dia tiada jawapan ketika itu, yang ada cumalah mulut yang mengunyah buah epal yang masak manis. Pada tika dia menatap wajah Dewi yang bujur sireh. Dewi hanya tersenyum sambil rambutnya melayang-layang ditiup angin petang.

Siapakah Dewi? Dia lansung tidak tahu. Dia tidak pernah berjumpa dengan Dewi di alam nyata, cuma di sini. Walaupun kadangkala dia terasa seakan benar apabila Dewi menyentuh tubuhnya, namun hatinya tetap terasa kosong. Sudah berjuta kali Dewi melafazkan cinta kepadanya namun Ehsan tetap terasa kesunyian. Dia sendiri tidak pasti mengapa.

“Ehsan rasa Dewi tipu Ehsan?” tiba-tiba ayat itu yang terpacul keluar dari bibir mungil gadis itu. Ehsan tidak mahu Dewi berasa sedih, Ehsan mahu Dewi sentiasa gembira lantas dia mengukir senyum.

“Tipu apa yang Dewi maksudkan?”

“Tipu yang kita tidak berada di alam nyata.”

“Ehsan tidak pernah berkata begitu.”

“Tapi Dewi tahu yang Ehsan ada memikirkannya,”

Ehsan terdiam. Dia tidak tahu jawapan apa yang harus diberikan kepada Dewi. Dia tahu yang Dewi kini sedang merajuk. Sungguh sukar baginya untuk memujuk gadis yang sedang merajuk biarpun dengan sejambak bunga ataupun sekalung emas. Dia tahu Dewi bukan jenis yang begitu. Dewi seorang gadis yang keras seperti kerikil. Tidak bisa dilentur dengan cara yang mudah. Dia seakan mati akal bila Dewi bangun dan meninggalkan dirinya terkulat-kulat di atas padang.

“Kalau Ehsan tidak perlukan Dewi, Dewi rasa lebih baik Dewi pergi dahulu,” Dewi melangkah laju lantas lenyap di sebalik kabus yang tiba-tiba muncul di hadapan mereka. Ehsan yang terperanjat dengan pemergian Dewi terus bingkas bangun lalu berlari ke arah kabus tebal itu. Dia mengibas-ngibaskan tangannya bagi mencari Dewi yang telah lenyap, namun tidak juga berjumpa. Berkali-kali Ehsan melaungkan nama Dewi namun tidak juga berjawab. Akhirnya Ehsan menjadi penat lantas dia tertidur.

No comments:

Post a Comment