Friday, April 8, 2011

LENSA (BAB 4)



Haji Hashim selesai menyampaikan ceritanya. Zahrul yang mendengar semenjak tadi masih lagi kurang faham atas tujuan dan khidmatnya ke mari. Biarpun dia tahu Balqis itu diguna-guna, tetapi apa yang boleh dilakukannya. Bukannya dia seorang bomoh atau dukun yang bisa mengubati Balqis.

“Inilah Balqis,” Haji Hashim menunjukkan gambar yang tergantung di dinding. Gambar gadis berkebaya biru yang baru sebentar tadi dilihatnya. ‘Rupa-rupanya inilah Balqis,’ bisik hatinya.

“Yang menjadi masalahnya sekarang ialah foto-foto yang disebut-sebut oleh anak saya ini.”

“Maksud Tuan?” Zahrul keliru.

Haji Hashim kembali ke tempat duduknya. “ Jika benar Balqis diguna-guna siapakah orangnya, kenapa Balqis tidak pernah menyebut nama orang itu. Dan apa kaitannya dengan foto-foto yang sering disebut Balqis itu,” Haji Hashim menerangkan kesimpulan kepada ceritanya tadi. Zahrul semakin keliru.

“Apa yang Tuan mahu saya lakukan?” Zahrul cuba untuk bertanya.

Ketika itu Haji Hashim seperti baru tersedar, dia melihat wajah Zahrul seperti mengharapkan sesuatu. Cepat-cepat Haji Hashim bangun lalu memimpin tangan zarul lalu di bawa ke kamar Balqis. Zahrul yang terkulat-kulat tidak tahu apa hanya menuruti kerana tangannya ditarik laju. Tangga demi anak tangga dinaiki hinggalah ke tingkat 3 rumah itu. Dari arah tangga, terdapat 4 buah bilik yang berderet dari bilik paling hujung. Terdapat juga sebuah tingkap berada di hujung ruang jalan kaki. Ditepinya dihiasi sebuah pasu buatan cina yang mengandungi beberapa tangkai bunga kering yang mungkin difikir cantik. Lantainya pula bukanlah diperbuat dari batu tetapi dari kayu jati yang cantik dan mahal. Di setiap tepi pintunya pula tergantung gambar-gambar pemandangan yang indah nian. Sekali pandang gambar itu kelihatan seperti benar hidup.

Haji Hashim mengajak Zahrul pergi ke bilik yang paling hujung, yang paling dekat dengan tingkap. Di luar pintu bilik tertulis nama Puteri Balqis. Haji Hashim mengetuk pintu sebanyak 3 kali sebelum membukanya. Zahrul yang sedari tadi mengekori turut melihat ke dalam ruangan kamar itu. Dengan sebuah katil yang diperbuat daripada kayu juga hiasan-hiasan lain yang juga turut diperbuat daripada kayu yang mahal, kamar itu kelihatan sangat indah sekali. Langsir berwarna biru muda menghiasai tingkap besar yang berhadapan dengan sebuah taman bunga, di situlah dia melihat seorang gadis ayu yang kelihatan kurus benar. Gadis itu kelihatan kusut masai dan lemah sekali.

Haji Hashim berjalan mendekati Balqis lantas bahu gadis itu disentuh perlahan. Ketika itulah Zahrul terasa seakan ada satu perasaan pelik yang menyelubunginya. Terasa seperti bilik itu diselebungi oleh sesuatu yang mistik. Semuanya kelihatan malap walaupun perabot-perabot itu indah sekali, seakan-akan perabot-perabot itu meratapi kesedihan tuannya.

Dia pasti yang Haji hashim tidak merasainya tetapi badannya sudah mula menggigil. Semakin dekat dia mendekati Balqis, semakin kuat perasaan yang kurang senang merasuki dirinya.

“Tuan, saya rasa saya kena pulang dulu,” terluah kata-kata yang tidak terfikir di otaknya ketika itu. Tidak tahulah mengapa Zahrul boleh berkata-kata begitu.

Tidak semena-mena matanya terkalih untuk melihat Balqis yang ada di tepi tingkap. Balqis juga melihatnya dengan mata yang seakan berapi. Ada satu aura yang membuatkan Zahrul terpaku. Dari pandangan itu dia meraskan ada kata-kata yang terluah meminta dia untuk tidak pulang dulu. Kaki Zahrul terpaku, dia tidak dapat bergerak.

“Awak nak pulang sekarang?” Haji Hashim bertanya.

Zahrul menggeleng.

“Tadi awak kata nak pulang?” Haji Hashim pula yang semakin pelik melihat sikap Zahrul yang berubah-ubah.

“Mungkin saya kena berbual-bual dengan anak tuan dahulu,” lancar saja perkataan yang terlahir dari bibir Zahrul. Dari mana dia dapat menyusun kata-kata begitu pun dia kurang pasti. Dia seakan terajar dan bibirnya seakan berkata sendiri tanpa memerlukan bantuannya.

“Baiklah, kalau begitu saya akan tinggalkan kamu berdua di sini,” Haji Hashim melangkah keluar dari kamar itu. Sempat juga dia melihat kedua orang anak muda itu tanpa memikirkan keburukkan atau kebaikkan kerana yang pasti dia hanya mendoakan yang terbaik buat anak kesayangannya.

Zahrul menarik kerusi yang ada di depan meja solek. Dia duduk tanpa diperhatikan oleh Balqis yang masih bersenandung. Di tangannya terpegang kamera kesayangngannya. Ruangan itu kedegaran sunyi sepi memandangkan suasananya juga kelihatan sunyi. Tiada sebarang kata-kata yang terluah. Zahrul masih lagi berdebar, dia mahu memulakan bicara namun dia tidak tahu apa yang patut disoalnya. Balqis yang tadinya bersenandung tiba-tiba berdiam. Zahrul yang panik takut jika-jika diterkam cuba menggerakkan tubuhnya ke belakang. Dia cuma mahu bersedia, tidak ada niat yang lain.
Setelah sejam berlalu, Zahrul menjadi bosan. Dia yang letih kerana duduk dan lapar mulai bangun sambil meregang-regangkan urat letihnya. Dia sudah tidak kisah dengan Balqis yang kembali bersenandung kerana dia kini pasti yang Balqis tidak akan meyerangnya. Balqis seperti di alam fantasinya sendiri, masakah Balqis akan menyerang, fikirnya.

Ketika itulah, tangannya yang nakal cuba mengangkat kamera untuk mengambil gambar Balqis yang kusut masai. Dia membetulkan lensa kameranya, meletakkan pada jarak yang cantik dan sekelip mata gambar Balqis diambil beberapa kali. Balqis cuma berdiam dan sesekali tertawa kecil tanpa memandangnya. Tiba-tiba perasaannya menjadi sekakan-akan sayu melihat keadaan Balqis yang begitu. Dia mahu mendekati Balqis tetapi hatinya menghalang.

“Balqis.”

“Balqis.”

Zahrul putus kata.

“Jika Balqis ada apa-apa masalah ceritalah pada saya. Nama saya Zahrul.”
Balqis diam, dia yang tadi tegak berdiri menoleh perlahan-lahan memandang ke arah Zahrul yang kembali panik. Tidak sangka yang Balqis akan membalas katanya dengan pandangan yang tajam. Hatinya mula menjadi takut, dia seakan-akan mahu lari dari situ tetapi dia tidak mampu. Kakinya mula terasa berat.

“ Foto Sukma Dewi di mana?” tanya Balqis.

Zahrul yang cuba menangkap kata-kata Balqis cuba untuk mendekatkan dirinya dengan Balqis. Sekali lagi Balqis bertanya perkara tadi dan ketika itulah Zahrul baru memahami.

“Sukma Dewi, siapa Sukma Dewi?” tanya Zahrul.

Balqis kembali bersenandung dan memandang ke luar tingkap.

***

HAJI HASHIM masih lagi menunggu di ruang rehat. Sesekali dia memandang ke arah tangga jikalau ada Zahrul yang turun, namun tiada. Air yang dihidang oleh Mak Nah sudah habis diminum. Melihatkan jam yang ada di dinding, rasanya sudah hampir sejam Zahrul dan Balqis dibiarkan berdua di atas. Bukan dia tidak mahu cuba untuk pergi melihat kedua anak muda itu, tetapi dia merasakan yang dia tidak perlu. Ini kerana dia percaya pada Zahrul biarpun Zahrul dilihanya seakan keliru dengan perkara yang berlaku.

Surat khabar juga sudah habis dibaca. Namun Zahrul masih juga belum turun-turun. Hatinya yang tadi masih sedap kini mula menjadi kurang enak. Fikirnya kalau Zahrul masih lagi belum turun dia akan cuba mencari anak muda itu di atas. Dia tidak mahu perihal yang buruk berlaku kerana dia tahu yang dia tidak cukup mengenali Zahrul. Biarpun begitu kakinya tetap juga tidak melangkah untuk pergi menaiki tangga dan pada ketika itulah Zahrul menuruni tangga.

Dilihatnya Zahrul tidak menunjukkan sebarang reaksi wajah. Seperti tiada apa yang berlaku. Haji Hashim hanya menanti sebarang berita baik yang akan disampaikan oleh Zahrul namun Zahrul hanya menggelengkan kepala. Haji Hashim kembali kecewa.

“Maafkan saya Tuan Haji, tiada apa yang mampu saya bantu,” Zahrul berterus terang. Namun begitu di kotak pemikirannya masih memikirkan tentang Sukma Dewi yang disebut oleh Balqis sebentar tadi.

“Mengenai foto itu?” Haji Hashim bertanya lagi.

Zahrul tetap menggelengkan kepala. Dia tidak mahu berkata apa-apa mengenai perkara itu, kerana baginya hal itu tidak sebesar mana. Dia sendiri tidak faham dengan apa yang ingin disampaikan oleh Balqis. Baginya, Balqis cuma berilusi kerana simptom sakit otak ini terdiri dari pelbagai jenis. Mungkin Balqis kini sedang mengalami delusi ataupun skizofrenia. Penyakit seperti ini tidak mudah difahami oleh seorang biasa sepertinya, inikan pula jika dia diminta untuk membantu. Dia tidak mampu.

“Saya cuma berharap agar saya memahami, saya tidak mahu anak saya dituduh diguna-guna, inikan pula gila,” Haji Hashim mengeluh lagi. Dia sendiri tidak tahu sudah sebanyak mana dia mengeluh buat beberapa bulan ini.

Zahrul simpati dengan nasib yang menimpa Haji Hashim. Tetapi bantuan yang bagaimanakah yang mampu dia hulurkan. Dia dipanggil ke sini pun secara tiba-tiba, dia tidak kenal akan Haji Hashim, dia juga tidak kenal akan Balqis. Dia cuma pekerja baru, seorang kerani, seorang yang tidak tahu apa-apa.

Haji Hashim mempersilakan Zahrul ke ruang makan. Setelah seharian berada di rumahnya, Haji Hashim juga mahu menjamu tetamunya itu walaupun tetamunya itu tidak dapat membantunya. Haji Hashim terlihat kamera yang dipegang oleh Zahrul, dia bertanya, “Awak memang suka mengambil gambar?”

Berdegup laju jantung Zahrul bila Haji Hashim menanyakan soalan itu. Dia takut kalau-kalau Haji Hashim tahu yang dia mengambil gambar anaknya tadi. Bukan niatnya untuk melakukan hal seperti itu, tetapi hatinya yang meminta agar dia mengambil gambar gadis itu. Biarpun gadis itu nampak kusut masai tetapi masih ada kemanisan yang terselah di wajah cengkung itu.

“Iya, saya memang suka mengambil gambar, tetapi sudah lama juga saya tidak mengambil gambar, Tuan Haji,”

“Kenapa?”

“Oh, saya sibuk Tuan Haji. Tiada masa nak pergi ke tempat yang cantik-cantik,” Zahrul menyudahkan kata-katanya sebelum dia menarik kerusi yang ada di ruang makan.
Dilihatnya, di atas meja terhidang makan malam yang terdiri dari ayam panggang dan berbagai lagi jenis makanan lain. Ada masak lemak cili api, ada ayam sumatera, ada sayur campur dan ada juga kerabu goreng. Zahrul kelihatan berselera benar menjamah setiap makanan yang ada di atas meja. Sedang enak menjamu selera, dia melihat Mak Nah meletakkan beberapa jenis lauk dan nasi ke atas sebuah dulang lalu di tatang ke tingkat atas. Dari perkiraannya, pasti makanan itu dibawa untuk Balqis.
Haji Hashim memandang Zahrul yang masih kusyuk mengadap makanan. Zahrul yang tidak perasan dirinya diperhati masih lagi enak menjamu selera.
“Terima kasih Zahrul kerana awak sudi datang ke sini,”
Zahrul hanya tersenyum.







No comments:

Post a Comment